PUTRAJAYA, 28 Jan -- Sebuah syarikat di Petaling Jaya diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Selasa lepas kerana disyaki membekalkan alat pemadam api tiruan.
KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan pada kira-kira 2 petang itu dilakukan ekoran aduan daripada wakil cap dagangan berdaftar dan anggota penguat kuasa menemukan 864 unit pemadam api yang dianggarkan bernilai RM85,536.
"Hasil pengecaman awal oleh wakil pihak cap dagangan berdaftar itu mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan dan produk itu sendiri," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an yang mengaku sebagai pengurus syarikat ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019.
Menurut KPDNHEP, maklumat risikan awal mendapati syarikat itu menjalankan perniagaan menjual dan mengedar alat pemadam api disyaki tiruan untuk pasaran domestik melalui penjualan di premis perniagaan secara fizikal di sekitar Lembah Klang dan secara dalam talian melalui platform e-dagang.
Katanya bekalan alat pemadam api itu dipercayai diimport dari negara jiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial