KUALA LUMPUR, 28 Jan -- Petronas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Petroleum Exploration Co Ltd (JAPEX) untuk bersama meneroka peluang dalam teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) termasuk penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia.
Di bawah MoU itu, Petronas dan JAPEX akan melaksanakan aktiviti pematangan teknikal untuk memanfaatkan penyelesaian CCS yang berpotensi, selain menilai kaedah penangkapan, penyimpanan dan pengangkutan yang optimum, serta anggaran pelepasan, volum tangkapan dan kaedah pemantauan CO2 yang disimpan di bawah tanah, kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.
"Kajian bersama ini akan meliputi pertimbangan kaedah untuk menangkap dan mengangkut CO2 dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu dan dari luar Malaysia sebagai kemungkinan masa depan," katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata kerjasama ini membolehkan Petronas memanfaatkan pengalaman JAPEX dalam Projek Demonstrasi CCS Tomakomai, projek CCS rantaian penuh pertama Jepun, yang dikendalikan oleh Japan CCS Co Ltd.
“Kami yakin ia akan memberi sumbangan berharga dalam Kajian Kematangan Teknikal untuk merealisasikan potensi CCS di negara ini,” katanya.
Petronas berkata CCS adalah gabungan teknologi sedia ada yang menangkap dan menyimpan CO2 jauh di bawah tanah, supaya ia tidak dipancarkan ke atmosfera.
“CO2 diasingkan daripada gas yang dihasilkan oleh proses perindustrian seperti pengeluaran keluli dan simen atau daripada pembakaran bahan api fosil, diangkut ke lokasi serta boleh disimpan dalam repositori geologi jauh di bawah tanah, seterusnya mengurangkan pelepasan ke atmosfera.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha Petronas dalam membina portfolio berdaya tahan dan mampan yang menyokong peralihan ke arah masa depan karbon yang lebih rendah, melalui usaha kerjasama dengan rakan kongsi industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial