EKONOMI

CIMB raih 11 pengiktirafan di Anugerah Tawaran & Penyelesaian Terbaik Alpha Southeast Asia 2021

28/01/2022 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jan  -- CIMB Investment Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd dan CIMB Thai Bank PCL meraih 11 pengiktirafan dalam Anugerah Tawaran & Penyelesaian Terbaik Tahunan Alpha Southeast Asia 2021 -- jumlah pengiktirafan terbanyak yang diraih berbanding kalangan kumpulan perbankan di ASEAN.

Dalam kenyataan pada Rabu, CIMB menjelaskan ia merupakan bukti terhadap keteguhan francais perbankan pelaburan CIMB di seluruh ASEAN, dengan kumpulan itu menerima anugerah bagi tawaran terbaik merentasi ruang ekuiti dan hutang di samping kepimpinan pasaran dalam pasaran sukuk.

Selama lebih sedekad, CIMB telah menjadi pengatur sukuk global terbesar setakat ini dalam kalangan bank-bank ASEAN dan di Malaysia sebagaimana menurut Bloomberg dan Dealogic.

CIMB juga diiktiraf atas komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) apabila merangkul anugerah itu bagi Sukuk Kemampanan dan Pelaburan Bertanggungjawab (SRI) Hijau ASEAN Terbaik dan Sukuk SRI Terbaik untuk terbitan pertama Nota Jangka Sederhana (MTN) Kemampanan Islam bernilai RM500 juta oleh SME Bank, di mana CIMB berperanan sebagai pengurus utama.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata anugerah dalam ruang ESG mengesahkan aspirasi CIMB untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN, sejajar dengan komitmennya untuk menggerakkan RM30.0 bilion ke arah kewangan mampan menjelang 2024.

“Kami juga menghargai usaha #teamCIMB yang terus bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan reputasi CIMB sebagai francais perbankan pelaburan ASEAN dan firma kewangan Islam terkemuka,” katanya.

Sementara itu, Akaun Simpanan EcoSave-i CIMB Islamic Bank yang inovatif, dengan ciri terbina dalam untuk menyumbang kepada kempen alam sekitar serta perkongsiannya dengan badan yang berfokuskan alam sekitar di Malaysia, telah membantu meletakkan asas bagi pengiktirafannya sebagai Firma Kewangan Islam Impak Sosial Terbaik.

Alpha Southeast Asia, ditubuhkan pada Januari 2007, merupakan majalah pelaburan institusi pertama dan satu-satunya yang menumpukan Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan