Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 27 Jan -- Thailand sedang meningkatkan langkah-langkah, termasuk mendapatkan dana kecemasan berjumlah 2.9 bilion baht (kira-kira RM366.2 juta) untuk membendung wabak African Swine Fever (ASF) pada ternakan babi.
Menteri Pertanian Chalermchai Srion berkata dari 10 hingga 25 Jan, ASF dikesan di 13 wilayah termasuk Bangkok, Buriram, Khon Kaen dan Nakhon Si Thammarat.
Bagaimanapun, beliau berkata Jabatan Penternakan hanya mengisytiharkan zon yang dijangkiti dalam radius lima kilometer tempat virus itu dikesan dan bukan di seluruh wilayah.
"Kementerian Pertanian akan mendapatkan 2.9 bilion baht daripada dana pusat dalam usaha membendung ASF termasuk langkah membantu penternak babi berskala kecil," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Sementara itu, Chalermchai berkata Jabatan Pembangunan Ternakan akan berunding dengan rakan di China, Vietnam dan negara lain yang telah mengesan ASF untuk menangani penyakit itu pada 3 Feb.
Selain itu, menurut beliau para pegawai akan meningkatkan usaha pemeriksaan di ladang dan pusat penyembelihan di seluruh negara bagi membendung penularan ASF.
Pada 11 Jan, Thailand mengumumkan kes pertama ASF yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom.
Media tempatan melaporkan bahawa jawatankuasa pencegahan ASF menerima laporan bahawa sejumlah 202 ekor babi telah mati akibat ASF di 13 wilayah dan 425 ekor babi telah dilupuskan dalam usaha untuk membendung penularan penyakit itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial