JERTEH, 27 Jan -- Seekor gajah denak bernama Suria yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka di Hulu Terengganu, menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke Karnival Tahun Pertanian Terengganu di Jabi, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata kehadiran gajah betina berusia 22 tahun itu, sekali gus memeriahkan lagi karnival tiga hari yang bermula hari ini.
“Kita jangka mampu menarik kira-kira 100,000 pengunjung ke karnival ini. Orang ramai juga pasti mahu melihat gajah yang digunakan untuk menjinakkan gajah liar itu dengan lebih dekat,” katanya selepas merasmikan karnival itu di sini, hari ini.
Beliau berkata 18 agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), mengambil bahagian pada karnival yang turut menampilkan pelbagai gerai jualan produk berasaskan pertanian dan makanan.
“Antara objektif utama karnival ini adalah untuk mendekatkan masyarakat khususnya golongan petani dengan agensi di bawah MAFI, selain mengadakan jualan barang keperluan harian Keluarga Malaysia yang ditawarkan pada harga lebih murah,” katanya.
Azman berkata program santai dan tidak formal seumpama itu juga, merupakan platform terbaik untuk petani memperoleh maklumat bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran mereka.
Menurutnya selain Suria, tarikan lain di karnival berkenaan ialah pameran pelbagai jenis haiwan ternakan termasuk lembu sado seberat 1.1 tan metrik yang berharga RM25,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial