JENAYAH & MAHKAMAH

Kes edar dadah Ismahalil dipindah ke Mahkamah Tinggi

27/01/2022 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes penyampai radio Ismahalil Hamzah yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 409 gram tahun lepas, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Wong Chai Sia mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya telah menerima laporan kimia daripada Jabatan Kimia yang mendapati berat dadah itu berkurangan dari 409 gram kepada 374.6 gram.

“Bagaimanapun, kes itu masih di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ismahalil, 49, didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Turut hadir dalam prosiding itu, isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abdul Manaf, 49, dan anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan