BUKIT MERTAJAM, 27 Jan -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng diesel bersubsidi setelah merampas 2,800 liter minyak diesel bernilai RM6,582.85 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, di sini semalam.
Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pihaknya menjalankan risikan sejak sebulan lepas sebelum menyerbu stesen minyak itu pada 6.30 pagi susulan aduan daripada orang awam, berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel.
"Semasa serbuan dijalankan didapati sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak itu dengan minyak diesel turut dipam masuk ke dalam tangki lori.
"Pemilik lori itu dipercayai telah mengubah suai bahagian tangki minyak dengan menyediakan satu mesin khas untuk mengepam minyak di bahagian tangki terus masuk ke tangki supaya diesel bersubsidi tersebut boleh dibeli dalam kuantiti yang banyak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pemeriksaan pada resit belian mendapati lori berkenaan telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM6,582.85 dalam masa lebih kurang 40 minit sedangkan setiap lori selalunya hanya mampu mengisi 100 hingga 200 liter diesel sahaja.
Mohd Ridzuan berkata pemandu lori yang berusia 30-an berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi.
“Selain menyita 2,800 liter minyak diesel, kami turut merampas lori tangki dan dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial