Oleh Azman Ujang
KUALA LUMPUR, 26 Jan -- Seorang saintis tanah mencadangkan agar sebuah Muzium Tanah diwujudkan di kampus utama Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sebagai pusat rujukan bagi perancangan penggunaan tanah secara lestari untuk pertanian, sekuriti makanan dan pemuliharaan tanah.
Ahmad Ebon, bekas Ketua Jabatan Sains di UPM, berkata fasiliti itu mampu menyediakan kepimpinan bagi memperjuang pengurusan penggunaan tanah secara lestari dalam usaha mempromosi kesedaran awam mengenai peranan sumber tanah untuk kelangsungan hidup manusia terutama kepada generasi muda.
Beliau berkata jika fasiliti itu diwujudkan, ia akan disokong oleh pelbagai bahagian seperti Geologi dan Agromomik.
"Kami mendapati terdapat kekurangan dari segi pengetahuan asas dalam bidang pertanian seperti tanah serta topografi di mana kawasan baharu diratakan untuk pembangunan pertanian kemudian timbul masalah menyebabkan kerugian kewangan yang besar selain kerosakan alam sekitar," katanya kepada Bernama.
"Semua ini boleh dielakkan jika terdapat perancangan yang sempurna dan mendapat nasihat lebih awal daripada pusat ini. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati," katanya.
Ahmad juga menyarankan agar semua kerajaan negeri meluluskan undang-undang yang akan memastikan sebarang pembangunan masa depan di kawasan mereka membabitkan pergerakan tanah, survei perlu dijalankan oleh sepasukan pakar dan syor berdasarkan fakta saintifik hendaklah dipatuhi dengan ketat bagi mengelakkan masalah berkaitan tanah berulang di negara ini.
Katanya beliau telah membentuk pasukan empat anggota terdiri daripada rakan saintis tanah untuk melobi supaya projek itu dilaksanakan.
Menyentuh sumber pembiayaan bagi memulakan projek itu, beliau berkata syarikat minyak negara Petronas, syarikat minyak Sarawak iaitu PETROS dan syarikat multinasional Shell akan menjadi penyumbang yang ideal.
"Sumber pembiayaan lain ialah syarikat pembalakan yang membina kekayaan daripada pokok yang tumbuh secara semula jadi lebih 100 tahun di atas tanah Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial