AM

Badan Kehakiman rakam ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mohamad Jemuri

26/01/2022 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan -- Badan kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak pertama Tan Sri Mohamad Jemuri Serjan yang meninggal dunia pagi tadi kerana sakit tua.

Menurut kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, seluruh warga badan kehakiman mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat, memberi keampunan serta menempatkan roh Allahyarham Mohamad Jemuri dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

Mohamad Jemuri, 95, meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, Sarawak sekitar 8.30 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Jawa, Kuching pada 3 petang.

Allahyarham mempunyai empat adik-beradik dan beliau merupakan satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Serjan Wakijan dan Jede Othman serta tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Mohamad Jemuri merupakan Ketua Hakim Borneo yang kelima serta terakhir dan jawatan itu disandangnya dari 11 Mac 1991 hingga 23 Jun 1991 sebelum dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama pada 24 Jun hingga 9 Sept 1994.

Perjalanan karier beliau sebagai pengamal undang-undang bermula sebagai Majistret pada 1 Jun 1965 sebelum dilantik sebagai Penolong Peguam Negara pada 8 Nov 1966 dan Peguam Besar Negeri Sarawak pada 1973 serta menyandang jawatan itu sehingga bersara pada 1984.

Beliau bagaimanapun telah ditawarkan semula jawatan kontrak sebagai Hakim Mahkamah Agung pada 31 Dis 1989 sebelum menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan