EKONOMI

MAHB: STOLport Pulau Pangkor akan bantu tingkat pelancongan, ekonomi tempatan

25/01/2022 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan -- Pembukaan Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Pulau Pangkor dijangka dapat meningkatkan permintaan pelancongan di pulau tersebut dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan. 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata lapangan terbang itu dengan kod Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 'PKG', hari ini mengalu-alukan penerbangan sulung KI6357 oleh SKS Airways yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (Kod IATA: SZB). 

Penerbangan harian SZB-PKG-SZB akan bermula pada 26 Jan, 2022 menggunakan pesawat DHC6-Twin-Otter yang boleh membawa sehingga 19 penumpang semasa penerbangan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata sebagai pengendali lapangan terbang, satu daripada peranan utama MAHB juga adalah untuk bekerjasama rapat dengan badan pelancongan bagi mempromosikan destinasi tempatan.  

"Pulau-pulau di Malaysia terkenal dengan daya tarikan semula jadinya dan sentiasa menerima permintaan tinggi daripada pelancong. Dengan adanya operasi penerbangan komersial itu akan menyediakan saluran hubungan yang perlu bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke pulau tersebut. 

"Ditambah dengan status bebas cukainya, ia akan memberi sumbangan positif kepada pemulihan ekonomi pulau itu dan penduduknya,” katanya. 

Zambry berkata pergerakan penumpang domestik setakat Disember tahun lepas telahpun mencapai kira-kira 60 peratus daripada paras sebelum pandemik COVID-19.

"Usaha kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi dalam kalangan penduduk negara ini juga akan membantu peralihan Malaysia ke fasa endemik dengan lebih pantas dan ini akan membantu lagi dalam meningkatkan perjalanan udara,” katanya. 

STOLport seterusnya yang akan menerima penerbangan harian berjadual oleh SKS Airways adalah STOLport Pulau Redang  (Kod IATA: RDN) bermula 31 Jan, 2022.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan