AM

Pakej BKSS 8.0 akan diumumkan dalam masa terdekat - Abang Johari

25/01/2022 04:13 PM

KUCHING, 25 Jan -- Kerajaan Sarawak akan mengumumkan bantuan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) 8.0 dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bantuan BKKS 8.0 bagi tempoh enam bulan pertama yang bernilai RM285.47 juta dalam bentuk bukan tunai itu turut disifatkan sebagai bantuan negeri yang terbesar pernah disalurkan.

“Ini merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di negara ini dan ini tidak termasuk peruntukan khas berjumlah melebihi RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Berucap pada majlis Hari Perkhidmatan Awam 2022 Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), perkhidmatan awam di negeri ini perlu bergerak pantas seiring dengan usaha untuk mempercepatkan lagi pembangunan Sarawak.

Menurutnya strategi ini telah dimulakan menerusi peruntukan RM4.803 bilion dalam Bajet Sarawak 2022 untuk melaksanakan projek infrastruktur dan utiliti luar bandar bagi mengangkat status ekonomi penduduk kawasan berkenaan.

Abang Johari berkata sebanyak RM1.18 bilion lagi diperuntukkan untuk mempergiatkan pembangunan infrastruktur jalan raya, jambatan, pelabuhan dan infrastruktur sungai bagi membuka lebih banyak lagi peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.

Bagi membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan lagi kecepatan penyampaian perkhidmatan mereka, beliau meminta supaya prosedur yang boleh melewatkan penyampaian projek diselaraskan bagi membolehkan pembangunan dipercepatkan lagi.

“Apa yang berlaku sekarang ialah pelaksanaan banyak Projek Rakyat agak perlahan. Ia mungkin disebabkan oleh birokrasi, mungkin disebabkan oleh prosedur yang melambatkan proses pelaksanaan projek,” katanya.

Abang Johari berkata prosedur tadbir urus yang baharu, selain penggunaan teknologi digital diterapkan dalam proses pelaksanaan pembangunan agar kewangan  awam dapat diselaraskan dengan baik.

“Saya tidak mencadangkan kita mahu mengabaikan prosedur kerana elemen integriti atau tadbir urus yang baik mesti sentiasa menjadi asas perbelanjaan awam. Tetapi ada prosedur yang saya percaya boleh diselaraskan supaya pembangunan kita dapat disegerakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan