EKONOMI

Potensi kenaikan kadar faedah AS diunjur tidak jejaskan pasaran hartanah Malaysia

25/01/2022 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan  -- Potensi tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah -- keputusan yang boleh mengancam pertumbuhan ekonomi di negara yag sedang pesat membangun -- dijangka tidak menjejaskan pasaran hartanah Malaysia pada 2022.

Berasaskan analisis terbaru oleh Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pasaran hartanah.

“Lebihan akaun semasa Malaysia yang ketara akan membantu melindungi ekonomi ini daripada kenaikan kadar faedah di AS.

“Negara ini meraih lebih banyak daripada eksport berbanding yang dibayar untuk import sejak 1997 dan telah mengekalkan lebihan ini semasa pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata Malaysia mempunyai hutang luar negara yang ketara, dan mungkin berisiko ketika berlakunya penyusutan ringgit, namun perbelanjaan yang menyumbang kepada hutang itulah yang membantu keluarga dan syarikat Malaysia kekal bertahan dalam mengharungi kesan buruk pandemik.

“Disebabkan perbelanjaan itu, kita berada pada kedudukan yang lebih baik untuk pemulihan ekonomi,” katanya.

Kashif berkata Malaysia mempunyai rizab pertukaran asing yang besar, lebih baik berbanding hampir 14 ekonomi pasaran pesat membangun yang setara.

Daya tahan keseluruhan Malaysia terhadap kenaikan kadar faedah meletakkan negara ini di tengah-tengah kumpulan kalangan negara yang setara, dan daya tahannya jauh lebih tinggi berbanding negara lain seperti India, Chile, Turki dan Brazil, katanya.

“Kami yakin permintaan antarabangsa untuk eksport Malaysia akan terus meningkat pada 2022 susulan pertumbuhan ekonomi yang pantas di AS dan pengimbangan semula rantaian bekalan.

“Ini akan membantu mengimbangi sebarang kesan negatif yang timbul daripada kenaikan kadar faedah,” katanya.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS bagi tahun ini dijadualkan pada 25 dan 26 Jan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan