EKONOMI

Indeks Pelopor meningkat kepada 111.3 mata pada Nov 2021, isyarat positif pemulihan ekonomi

25/01/2022 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan  -- Prestasi Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal optimistik pada November 2021, meningkat kepada 111.3 mata daripada 109.4 mata pada November 2020 apabila ekonomi beransur pulih daripada gangguan akibat pandemik COVID-19, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin berkata ini terutamanya didorong oleh kenaikan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.

Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kenaikan dalam IP ini memberi isyarat bahawa Malaysia mengalami pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

Beliau berkata banjir baru-baru ini dijangka memberi kesan terhad kepada pemulihan ekonomi berikutan tindakan pantas kerajaan dalam menyediakan inisiatif bantuan iaitu Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion dan ini diunjur dapat memulihkan aktiviti ekonomi di kawasan terjejas. 

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) terus meningkat sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 114.3 mata pada November 2021.

Indeks Serentak yang mengukur keseluruhan prestasi ekonomi semasa meningkat sejak Ogos 2021, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi apabila langkah pembendungan dilonggarkan secara berperingkat, kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan