EKONOMI

Platform CBDC sedia pelbagai manfaat berpotensi untuk bank-bank pusat - IMF

25/01/2022 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan  -- Platform mata wang digital bank pusat (CBDC) menawarkan pelbagai manfaat berpotensi untuk bank-bank pusat, tetapi terdapat juga beberapa risiko yang harus dipertimbangkan, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kaunselor dan Pengarah Kewangan Jabatan Monetari dan Pasaran Modal IMF Tobias Adrian berkata CBDC berpotensi menjadikan sistem pembayaran lebih cekap dari segi kos, berdaya saing dan berdaya tahan.

"Disebabkan sifat digital mereka, CBDC boleh mengurangkan kos mengurus tunai fizikal yang boleh menjadi besar, terutamanya di negara yang mempunyai jisim tanah yang luas atau banyak pulau yang tersebar secara meluas.

"Selain itu, dengan menawarkan alternatif kos rendah, CBDC boleh membantu mendisiplinkan pasaran pembayaran, yang selalunya sangat tertumpu. Ia juga boleh meningkatkan daya tahan sistem pembayaran, melalui penubuhan platform yang didesentralisasi secara bersilih ganti," katanya ketika menyampaikan ucaptama di hari kedua acara 'My Fintech Week' 2022 hari ini.

Beliau menambah di negara yang mempunyai sejumlah besar penduduk yang "tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan bank atau tiada akaun bank" (unbanked), CBDC boleh membantu meningkatkan keterangkuman kewangan, terutamanya jika mereka digandingkan dengan sistem pengenalan digital.

Bukan sahaja mereka yang "tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan bank atau tiada akaun bank" mendapat tempat selamat untuk simpanan mereka, ketersediaan digital data pembayaran mikro menawarkan cara untuk mereka mendapat akses kepada kredit dan perkhidmatan kewangan lain, jelasnya.

Adrian turut berkata CBDC boleh dimanfaatkan untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan, yang kini selalunya perlahan, mahal dan tidak mudah diakses.

"Pembayaran rentas sempadan sebahagian besarnya bergantung pada hubungan perbankan koresponden berbilang lapisan, yang mewujudkan rantaian pembayaran yang panjang.

"Sebaliknya CBDC boleh didagangkan secara terus sehinggakan mereka berkongsi standard teknikal yang sama serta keperluan data dan pematuhan," katanya.

Namun begitu, Adrian turut mengetengahkan beberapa kelemahan CDBC, antaranya ialah potensi  pengurangan pengantaraan sektor perbankan kerana deposit boleh dikeluarkan, mungkin secara tiba-tiba, daripada bank perdagangan, sekiranya seseorang itu memutuskan untuk memegang banyak CBDC.

Selain itu, Adrian menambah menawarkan CBDC memerlukan bank-bank pusat untuk aktif  atau sekurang-kurangnya mengawasi beberapa langkah rantaian nilai pembayaran, termasuk berurusan dengan pelanggan, memilih dan menyelenggara teknologi, memantau transaksi dan bertanggungjawab terhadap proses pencegahan pengubahan wang haram.

Kegagalan untuk memenuhi mana-mana fungsi ini, sama ada disebabkan oleh gangguan teknologi, serangan siber, atau hanya kerana kesilapan manusia boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap operasi bank pusat, katanya.

Akhir sekali, risiko makro-kewangan boleh berlaku dengan penggunaan rentas sempadan CBDC.

"Risiko-risiko ini boleh dikurangkan melalui reka bentuk yang sesuai. Contohnya, menawarkan kadar faedah yang lebih rendah ke atas pegangan CBDC, atau mengagihkan CBDC melalui institusi kewangan sedia ada.

"Kerjasama dalam kalangan bank pusat juga akan menjadi penting dalam membina CBDC dengan ciri-ciri yang membantu membendung limpahan dan membantu memudahkan halangan," katanya.

Beliau berkata negara boleh meneroka pilihan untuk mengehadkan urus niaga dan pegangan untuk warga asing, serta melaksanakan langkah-langkah pengurusan aliran modal, yang mungkin melibatkan sekatan ke atas urus niaga rentas sempadan tertentu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan