DUNIA

Ahli silap mata Andrew Lee menyerlah di Amerika Syarikat

24/01/2022 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- Ahli silap mata terkemuka Malaysia Andrew Lee membuat penampilan pertamanya dalam rancangan televisyen Amerika Syarikat (AS) Go-Big Show musim kedua pada 13 Jan lepas, dengan melakukan aksi membaling pisau sambil mata tertutup.

Persembahan ini menyaksikan Lee membaling pisau ke atas papan yang digantung pada leher penyanyi rap AS, T-Pain dengan bantuan penyanyi Nettles yang juga juri rancangan terbitan rangkaian TBS itu bersama pelakon wanita Rosario Dawson dan ahli gusti Cory Rhodes.

Persembahan oleh ahli silap mata negara itu mendapat perhatian para juri yang membolehkannya menduduki ranking teratas mengatasi pesaing terdekatnya Joe White dengan aksi membaling kapak, sekali gus membolehkan Lee mara ke pusingan seterusnya.

Lee dalam kenyataan berkata sebelum menerima jemputan sebagai 20 peserta rancangan Go-Big Show, beliau telah melakukan pertunjukan silap mata secara dalam talian berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan semua pertunjukan secara bersemuka dibatalkan.

“Saya gembira kerana berjaya melakukan lebih 650 pertunjukan menerusi Zoom dan menjalankan persembahan secara maya untuk menceriakan kakitangan dalam kalangan pelanggan korporat antarabangsa.

“Dengan persembahan dalam talian, saya kini boleh boleh menikmati kedua-duanya dengan melakukan persembahan sama ada secara bersemuka atau secara maya di mana-mana sahaja melalui studio bergerak saya,” katanya.

Setelah sekatan perjalanan susulan COVID-19 ditarik balik, Lee sudah mendapat tempahan pertunjukan silap mata untuk beberapa kapal cruise seperti Viking dan Norwegian Cruisers Liners yang memberi peluangnya belajar dari Lautan Pasifik dan Atlantik dan beliau sangat teruja kerana bakat rakyat Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kadang-kadang perkara paling menakutkan bukan kekurangan peluang tapi kesediaan kita untuk mengambil peluang dan meletakkan diri kita di sana. Jangan risau tentang orang akan mengkritik kita, pilih untuk fokus pada hadapan kita sendiri daripada ketakutan kita,” kata pengurus Lee, Cindy Teh yang juga rakan kongsinya selama enam tahun itu.

Kata-kata ini adalah peringatan berterusan dan dengan berpegang kepada peringatan ini, Lee kini mempunyai senarai tempahan pertunjukan termasuk untuk tahun depan di atas kapal pelayaran di AS, Alaska, Mexico, Amerika Selatan dan Asia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan