LABUAN, 24 Jan -- Acara sukan lasak berbasikal atau MTB Park Downhill Time Trail Challenge 2.0 anjuran JHK Events akan diadakan di Labuan pada 6 Feb ini.
Pengasas JHK Events Jamil Kario berkata acara itu akan diadakan di hutan Merinding yang berubah wajah dengan pembinaan laluan pejalan kaki, berlari dan berbasikal, dengan menuruni bukit sejauh satu kilometer dari Bukit Merinding yang berketinggian 63 meter.
“Penganjuran ini telah lama dirancang namun terhalang susulan pandemik COVID-19. Sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan lorong berbasikal yang mencabar siap oleh MTB Park Team dan pandemik berupaya dikawal, maka penganjuran sukan lasak ini kami teruskan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Jamil berkata acara itu akan ditaja oleh Majlis Perwakilan Penduduk Labuan dan dijadual disempurnakan oleh Senator Datuk Bashir Alias.
Beliau berkata kesemua peserta yang ingin mengambil bahagian dikehendaki memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu lengkap vaksin sekurang-kurangnya dua dos dan menunjukkan keputusan negatif COVID-19.
“Kami akan berusaha memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya seperti tidak ada kumpulan orang dalam satu kawasan dan tidak ada sentuhan fizikal antara satu sama lain, kecuali kejadian kecemasan yang menghendaki SOP langkah-langkah keselamatan dilaksanakan sepanjang acara berjalan,” katanya.
JHK Events adalah penganjur sukan lasak Labuan dengan penyertaan ramai peserta antarabangsa, sekali gus meletakkan Labuan setanding dengan negeri-negeri lain dalam penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial