JOHOR BAHRU, 22 Jan -- MIC Johor berharap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan empat kerusi tradisinya untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan MIC Johor S. Deva berkata kerusi terbabit ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan Kahang yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta kerusi yang tewas iaitu Gambir dan Skudai.
Beliau berkata hasrat itu adalah antara perkara yang dibangkitkan MIC Johor dalam mesyuarat khas MIC pusat di Kuala Lumpur berhubung persediaan PRN semalam.
“Selain itu, MIC bahagian telah mengeluarkan usul memandangkan DUN Permas juga kerusi tradisi kita... minta kerjasama UMNO untuk mempertimbang kerusi ini dikembalikan kepada MIC dengan rela,” katanya kepada pemberita pada program agihan barangan segar anjuran Penyelaras MIC DUN Permas di Taman Cendana di sini hari ini.
Deva berkata demikian ketika diminta mengulas kerusi yang akan ditandingi MIC sekiranya PRN diadakan di negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk menentukan percaturan kerusi parti itu diserahkan kepada MIC pusat serta pucuk pimpinan BN.
Deva juga berkata ketiadaan parti Gerakan di dalam BN dilihat akan memberi peluang kepada parti komponen seperti MIC atau MCA untuk meletakkan calonnya di kerusi DUN Bukit Batu dan Pemanis yang ditandingi Gerakan pada PRU14.
“Gerakan sudah tidak wujud di Johor… kerusi-kerusi Gerakan mungkin jadi perbincangan untuk diberikan kepada parti komponen yang berdiri teguh dengan UMNO, mungkin MIC atau MCA,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial