AM

Pembukaan semula laluan VTL Malaysia-Singapura rancakkan semula sektor ekonomi - Mustapa

22/01/2022 05:09 PM

JELI, 22 Jan -- Pembukaan semula penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura akan merancakkan kembali sektor ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa itu memberikan kelegaan kepada sektor ekonomi terutamanya keputusan itu dibuat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kita mengalukan keputusan membuka semula VTL Malaysia dan Singapura yang dihentikan sebulan lalu. Dengan pembukaan ini bukan saja ia dapat kembali meningkatkan sektor ekonomi negara, malah memberi kelegaan kepada masyarakat Cina yang mempunyai hubungan kekeluargaan di kedua-dua negara.

"Kita lihat sekarang peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh bernafas semula apabila kita beransur-ansur membuka pintu sempadan negara selepas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Pejabat Pusat Khidmat Dato' Pa Bukit Bunga, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif  VTL antara Malaysia dan Singapura yang digantung sementara sejak 23 Dis lepas, dibuka semula berkuat kuasa semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kuota tiket bas dan penerbangan yang dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti sedia ada. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan