POLITIK

PRN: Kerjasama dengan UMNO dibincang hanya selepas DUN dibubar - Tuan Ibrahim

21/01/2022 10:16 PM

SHAH ALAM, 21 Jan -- Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan sama ada PAS akan bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar.

“Kita tunggu dulu Pilihan Raya Negeri Johor jadi ke tidak, (selepas itu) akan (ada) perbincangan dengan UMNO. Saya rasa ketika ini, semua orang mahu kita kurangkan politik dalam isu rakyat tengah susah (akibat banjir dan sebagainya).

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan Johor, kalau bubar, kita terpaksa hadapi PRN dan masing-masing sudah bersedia, PAS pun sedia," katanya pada pemberita selepas merasmikan dan meraikan ulang tahun pertama penubuhan Malaysian Recycling Alliance (MAREA) di sini, hari ini.  

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada PAS akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi pilihan raya, andainya PRN Johor diadakan.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya tidak mahu terlalu banyak pilihan raya yang dilaksanakan dalam waktu berbeza yang akhirnya akan menyebabkan rakyat hidup dalam situasi politik sepanjang waktu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin berkata PRN bukan satu keperluan untuk dilaksanakan ketika ini, meskipun Johor mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

“PAS Johor melihat bahawa perkara yang perlu diberikan keutamaan ketika ini adalah kepentingan rakyat dalam membina semula kekuatan ekonomi yang terkesan akibat wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya PRN diadakan, PAS Johor sentiasa bersedia, dan berharap agar kerjasama atas nama Muafakat Nasional (MN) akan diteruskan seperti mana kerjasama PAS bersama Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

“PAS Johor juga kekal dengan pendirian untuk terus mengukuhkan kerajaan PN bersama-sama Bersatu, sambil memperkasa kerjasama MN bersama UMNO,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan