KUANTAN, 21 Jan -- Seorang bekas anggota keselamatan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menipu seorang wanita warga Indonesia bagi mendapatkan dokumen kerakyatan Malaysia anaknya.
G. Ananda Raj, 36, yang beralamat di Georgetown, Pulau Pinang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.
Tertuduh didakwa menipu wanita itu sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000, kononnya bagi urusan mendapatkan kerakyatan Malaysia anaknya, di sebuah rumah di Semambu di sini pada 12 tengah hari, 26 Sept 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid memohon kes ditangguhkan pada tarikh lain untuk hukuman, sementara menunggu fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Hafidza Baharudin yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan, kerana anak guamnya kini bekerja sebagai pengurus kafe di Perak dengan pendapatan bulanan sekitar RM4,000.
Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jan untuk sebutan semula kes.
Ananda Raj juga mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu berkaitan penjualan telefon pintar dan komputer riba, sehingga mengakibatkan seorang peniaga yang berusia 27 tahun melakukan pemindahan wang secara dalam talian ke akaun tertuduh berjumlah RM2,400.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar daerah ini antara 4 Mei hingga 14 Mei 2021.
Bagi tiga pertuduhan itu, Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial