EKONOMI

Prospek pasaran sedang pesat membangun kelihatan lebih baik separuh kedua 2022 - Manulife

20/01/2022 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Manulife Investment Management (M) Bhd berkata prospek bagi pasaran sedang pesat membangun kelihatan lebih baik pada separuh kedua 2022 apabila inventori dibina semula dan gangguan rantaian bekalan yang diperbaiki dijangka mendorong pemulihan yang lebih mampan berbanding lantunan semula yang terpendam pada tahun lepas.

Ketua Strategi Makro Asia Sue Trinh berkata, apabila tekanan inflasi dan pertumbuhan reda, bank pusat global dijangka membuat tumpuan dasar bertimbang rasa bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan lanjutan kitaran dalam pertumbuhan ekonomi.

Beliau menjangkakan tahap inflasi yang tidak selesa pada separuh pertama 2022, didorong oleh isu bekalan global, tidak dapat ditangani dengan dasar kadar faedah.

"Dengan rancangan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan program pembelian asetnya, potensi turun naik dalam dolar AS dan kadar faedah AS mungkin menjejaskan kecairan global - satu elemen yang penting kepada pertumbuhan Asia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sue menambah ekuiti Asia yang sedang pesat membangun dan pendapatan tetap akan disokong oleh pendirian dasar monetari yang akomodatif dan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menahan risiko ‘taper’ (merujuk kepada dasar yang mengubah suai aktiviti bank pusat tradisional) Fed berbanding 2013, hasil daripada kedudukan luaran yang lebih kukuh, pergantungan yang lebih rendah pada pembiayaan luaran dan kedudukan yang lebih seimbang.

Beliau berkata rantau Asia akan menyaksikan normalisasi dasar pada kadar yang lebih perlahan dan magnitud yang lebih rendah berbanding kitaran sebelumnya dan pasaran sedang pesat membangun yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Manulife, Ekuiti, Asia selain Jepun Ronald Chan berkata kemunculan varian Omicron, kitaran pengetatan kawal selia China dan tindakan bank pusat memberi kesan kepada pertumbuhan di Asia menjelang 2022.

Chan berkata beberapa faktor makro yang diketengahkan untuk tahun ini ialah varian COVID-19, ‘taper’ AS dan corak pertumbuhan China, yang kesemuanya mewakili halangan pertumbuhan bagi Asia tetapi kesannya dijangka dirasai secara berbeza di Asia Utara berbanding Asia Tenggara.

"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di China perlahan kepada lima peratus tahun ini daripada lapan peratus tahun lepas, yang lebih rendah daripada unjuran pertumbuhan bagi Asia Tenggara. Tinjauan positif kami untuk Asia Tenggara terus didorong sebanyak 6 peratus hingga 7 peratus jangkaan momentum pertumbuhan di India. Selain itu, pandangan positif kami terhadap subrantau itu diperkukuh lagi oleh hasil benar yang lebih tinggi dalam ekonomi utama, iaitu Indonesia dan India, yang menarik aliran modal," katanya.

Chan menambah inisiatif ‘China Plus One’ telah menggalakkan syarikat multinasional untuk mempelbagaikan barisan perniagaan dan pangkalan pengeluaran mereka ke pasaran serantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan Manulife, Pendapatan Tetap, Asia selain Jepun Murray Collis berkata ekonomi serantau beransur pulih daripada pandemik COVID-19, manakala perubahan kawal selia dan risiko idiosinkratik dalam sesetengah pasaran menyumbang kepada perbezaan prestasi antara kredit gred pelaburan dan kredit hasil tinggi.

"Kami percaya bahawa bon hasil tinggi Asia menawarkan penilaian yang sangat menarik, dengan sebaran hasil bon jauh melebihi purata sejarah, memberikan peluang yang ketara pada tahun ini. Secara keseluruhan, kami melihat kecairan global kekal akomodatif daripada perspektif sejarah untuk kredit Asia pada 2022. Kami percaya bahawa sesetengah kredit, terutamanya dalam segmen hasil tinggi, dikenakan harga yang terlalu tinggi yang boleh memberi kesan negatif.

"Sememangnya, harga yang tidak kena pada tempatnya, terutama pada sektor hartanah China, yang dialami pada 2021 tidak menggambarkan asas pemaju berkualiti tinggi," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan