KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Maybank hari ini mengumumkan bahawa ia telah menyepadukan platform dalam taliannya iaitu Sama-Sama Lokal ke dalam aplikasi MAE untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) makanan dan minuman (F&B).
Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan bank untuk memberikan penyelesaian digital yang praktikal kepada pelanggan individu dan PKS serta menyediakan perniagaan dengan sokongan dan penyelesaian lengkap melangkaui perkhidmatan perbankan tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti kumpulan Maybank Datuk John Chong berkata untuk kekal bergerak pantas dalam landskap pasca pandemik, perniagaan tradisional perlu didigitalkan agar terus kelihatan kepada pelanggan, sekali gus meneruskan kesinambungan perniagaan mereka pada masa depan.
“Pendekatan pelbagai saluran ini juga akan membantu PKS menghadapi sebarang kejadian yang tidak dijangka pada masa depan. Sama-Sama Lokal adalah platform yang mudah dan tanpa komitmen bagi PKS yang mengambil langkah pertama untuk mendigitalkan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sama-Sama Lokal, platform dalam talian tanpa komisen Maybank, dibangunkan ketika perintah kawalan pergerakan pertama pada April 2020 bagi membantu perniagaan tempatan yang mengalami kemerosotan dalam jualan berikutan pengurangan jumlah pengunjung.
Hari ini, platform itu mempunyai hampir 14,000 peniaga, yang mendapat manfaat daripada kesalinghubungan 12 juta jumlah pelanggan bank itu.
Untuk memacu lagi jualan bagi PKS F&B sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang serta meraikan pengenalan Sama-Sama Lokal dalam aplikasi MAE, Maybank melancarkan dua promosi dalam tempoh dua bulan akan datang untuk manfaat pelanggannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial