BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
PUTRAJAYA, 20 Jan -- Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2022 telah mengiktiraf dan menganugerahkan 14 perniagaan dan pihak berkepentingan pelancongan di Malaysia dalam Anugerah Standard Pelancongan ASEAN.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini menyatakan, pengiktirafan itu melibatkan empat kategori iaitu Anugerah Hotel Hijau ASEAN, Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN, Anugerah Venue MICE (Bilik Mesyuarat) dan Anugerah Pelancongan Lestari ASEAN.
ATF 2022, yang diadakan di Preah Sihanoukville, Kemboja dari 16 hingga 22 Jan ini, adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada perniagaan dan destinasi pelancongan ASEAN cemerlang, yang mematuhi Standard Pelancongan ASEAN.
Standard Pelancongan ASEAN adalah piawaian bagi semua negara anggota ASEAN dan merupakan panduan kepada pemain industri pelancongan serantau, dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan terbaik kepada pelancong, bagi mencapai sasaran menjadikan ASEAN destinasi cemerlang pada skala global.
Kenyataan MOTAC itu menyatakan Habitat Bukit Bendera di Pulau Pinang dan Taman Konservasi Penyu Walai di Pulau Libaran, Sabah menerima Anugerah Standard Pelancongan Lestari ASEAN 2022-2023, masing-masing di bawah kategori bandar dan luar bandar.
Sementara itu, Mandarin Oriental (Kuala Lumpur), The Datai Langkawi (Kedah), Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa (Pulau Pinang) dan Golden Sand Resort by Shangri-La (Pulau Pinang), disenaraikan untuk Anugerah Standard Hotel Hijau ASEAN (2022-2024).
Selain itu, turut membawa pulang anugerah adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (Pulau Pinang), Majlis Perbandaran Muar (Johor) dan Majlis Pembandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan (Kedah), menerusi kategori Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN (2022-2024).
Lima hotel iaitu Four Points by Sheraton Puchong (Selangor), Lexis Hibiscus Port Dickson (Negeri Sembilan), Le Meridien Hotel Putrajaya (Putrajaya), Doubletree by Hilton Melaka (Melaka), Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa (Pulau Pinang) pula, menerima Anugerah Standard Venue MICE ASEAN (Bilik Mesyuarat) (2022-2024).
Kenyataan MOTAC itu menyatakan sepuluh negara anggota ASEAN berpendapat, keseragaman standard dalam perkhidmatan pelancongan adalah penting untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan, selain mempromosi pengurusan bertanggungjawab dalam kalangan perniagaan dan pihak berkepentingan pelancongan di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial