KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Pelanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan memacu jualan hartanah di negara ini dan membantu menghidupkan semula ekonomi, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia.
Timbalan Presiden REHDA Datuk Tong Nguen Khoong berkata sektor hartanah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan kerana ia melibatkan kira-kira 180 industri hiliran daripada pelbagai sektor ekonomi.
Beliau berkata pelanjutan HOC akan memberi peluang besar dalam merangsang ekonomi memandangkan ini masa terbaik bagi mereka yang tiada rumah sendiri membuat pembelian.
"Kami ingin berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memanjangkan HOC dari hujung Mei tahun lepas hingga akhir Disember. Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lima bulan.
“Bilik pameran terpaksa ditutup. Walaupun terdapat beberapa jualan dalam talian, masih ramai yang terlepas peluang. Oleh itu, kami telah menulis surat kepada kerajaan untuk lanjutan HOC, tetapi kami masih belum mendapat maklum balas. Setakat yang kami tahu, HOC belum dilanjutkan,” katanya kepada pemberita hari ini semasa persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Institut REHDA Siri 2022 - Persidangan Pemaju Hartanah Tahunan.
Mengulas seterusnya sama ada kerajaan akan meyambung HOC pada 2022 , Tong berkata ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat kerana terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira.
“Kementerian Kewangan perlu mengimbangi semua faktor yang berkaitan dengan lanjutan HOC, jadi terserah kepada kerajaan tetapi saya fikir mereka mempunyai pendekatan yang berbeza untuk memajukan ekonomi,” tambah Tong.
HOC ialah inisiatif kerajaan yang direka bagi menyokong pembeli rumah dan menggalakkan penjualan hartanah yang tidak terjual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial