SUKAN

Faisal fokus Liga Malaysia, tidak mahu fikir soal kelab luar

20/01/2022 03:43 PM

KUALA NERUS, 20 Jan -- Penyerang prolifik Terengganu FC (TFC) Faisal Halim mendedahkan bahawa beliau belum menerima tawaran kontrak secara rasmi daripada mana-mana kelab bola sepak luar negara.

Menurut Faisal, sehingga kini beliau tidak mendengar sebarang khabar berita daripada dua kelab Eropah yang dikatakan berminat dengan potensinya ketika dipilih menyertai skuad kebangsaan musim lepas.

"Memang kelab tersebut ada menghubungi ejen, tetapi tidak ada jalan cerita yang jelas dan nyata, tidak seratus peratus betul.

"Selepas panggilan itu, mereka (kelab luar negara) pun dah senyap. Jadi takkan saya pula beria-ia nak hubungi mereka," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pramusim di Stadium Gong Badak, dekat sini.

Berikutan itu, Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mickey' dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia, mahu memberi fokus kepada persiapan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal membuka tirai Februari ini.

Faisal berkata kontraknya bersama skuad Penyu masih berbaki satu musim dan tumpuan penuh diperlukan bagi mencapai misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2022.

"Saya tidak ada masalah dengan Terengganu kerana di sini pun tempat yang sangat sesuai untuk kembangkan bakat dan karier.

"Saya harap dapat meneruskan momentum baik musim lepas seterusnya menghadiahkan satu piala kepada penyokong Terengganu," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Pemain kelahiran Pulau Mutiara itu mempamerkan aksi cemerlang bersama TFC dalam saingan Liga Super musim 2021 dengan meledak empat gol dan enam gol pada kempen Piala Malaysia, sekali gus menjadikannya watak penting yang membawa skuad Penyu mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia tahun lepas.

Beliau memulakan karier awal dalam pasukan Piala Presiden bersama Pulau Pinang sebelum diserap ke pasukan senior, Penang FC pada 2015 sebelum berkelana ke pasukan Sri Pahang selama lima musim bermula 2016.

Pada 2021, beliau memilih untuk beraksi bersama skuad kendalian jurulatih muda, Nafuzi Zain dengan kontrak dua musim.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan