KANGAR, 20 Jan -- Skuad Singa Utara bakal diuji buat pertama kali sebelum memulakan saingan di Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) bulan hadapan menerusi satu perlawanan persahabatan bersama sebuah kelab dari Pulau Pinang Bukit Tambun FC (BTFC) di Stadium Tuanku Syed Putra pada Sabtu ini (22 Jan).
Peneraju Perlis United Football Club (PUFC) Azizul Abidin yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Jon’ dalam kalangan anak didiknya berkata perlawanan persahabatan pada Sabtu ini adalah penting bagi mengukur kemampuan pasukannya sebelum aksi pembuka tirai bertemu Tok Janggut Warriors FC (TJWFC) yang dijadual bermula bulan hadapan.
Azizul berkata beliau masih belum memuktmadkan barisan pemain utama dan kapten pasukan untuk saingan Liga M3 dan hanya akan membuat keputusan selepas perlawanan Sabtu nanti.
“Kita tengok dulu perlawanan Sabtu ini, baru boleh buat keputusan,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis semalam.
Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan dan semangat yang ditunjukkan oleh barisan pemain sepanjang hampir sebulan memulakan latihan pada 3 Jan.
Azizul berkata daripada perlawanan persahabatan nanti baharulah beliau dapat mengukur sejauh mana kesesuaian kombinasi pemain beraksi dalam sebuah pasukan.
Sebanyak 20 pasukan akan berentap pada saingan Liga M3 musim ini, Perlis United FC akan berada dalam kumpulan B bersama pasukan Tok Janggut Warriors, Harini KS, Kijang Rangers, BRM, Respect, Kuala Lumpur Rovers, Bukit Tambun, PIB dan Real Chukai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial