TUMPAT, 19 Jan -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima geran bernilai RM200,000 menerusi Dana Duta Amerika Syarikat untuk Pelestarian Budaya (AFCP) bagi melaksanakan penyelidikan termasuk menyediakan dokumentasi dan rekod berkenaan Rebana Kercing Kampung Laut.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata penyelidikan itu merangkumi temu bual mendalam, kerja lapangan dan digitalisasi proses latihan tradisional serta persembahan kebudayaan.
Katanya unversiti itu diberi masa setahun bermula November lepas bagi menjalankan penyelidikan berkenaan.
"Projek penyelidikan Pemuliharaan Rebana Kercing Kampung Laut, Kelantan itu mendapat pengiktirafan global apabila pihak Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat membiayai dana penyelidikan yang dilaksanakan oleh UMK.
"Ia adalah sebahagian daripada agenda membantu negara-negara lain mengekalkan warisan budaya mereka dan menunjukkan rasa hormat Amerika Syarikat terhadap budaya yang berbeza di seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran AFCP yang disempurnakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters di Dewan Rebana Kercing Kampung Laut, di sini hari ini.
Turut hadir, Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata UMK juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan universiti awam lain serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bagi mewujudkan kurikulum warisan dan kebudayaan rebana kercing bertujuan memperkenalkannya kepada generasi muda.
"Kami mahu jadikan kesenian rebana kercing ini sebagai kurikulum di universiti dan kelab-kelab kebudayaan di sekolah melibatkan pemuzik, penari dan penyanyi yang akan dilantik.
“Kebanyakan aktivis seni rebana kercing ini berusia 70 tahun ke atas dan kami khuatir kesenian tersebut akan hilang begitu sahaja apabila mereka tiada lagi kerana tiada siapa yang mewarisinya. Oleh itu, diharapkan geran yang diperoleh bagi projek ini tidak disia-siakan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial