EKONOMI

Petronas Chemicals akan bina loji melamina di Kedah

19/01/2022 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan -- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bakal membina loji melamina berkapasiti 60,000 tan setahun di Gurun, Kedah, sekali gus menjadikannya pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Disasarkan mula beroperasi pada 2024, projek ini adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan PCG untuk berkembang ke derivatif dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin dan lain-lain.

PCG melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK) akan menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah untuk menghasilkan melamina.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof dalam kenyataan berkata ia merupakan pencapaian penting bagi kumpulan itu dan mengukuhkan lagi strategi mereka untuk mempelbagaikan portfolio produk.

“Dengan menempatkan loji dalam kawasan yang sama dengan PCFK, kumpulan ini akan dapat memaksimumkan nilai keseluruhan melalui integrasi bahan mentah dan utiliti dengan kemudahan PCFK sedia ada," katanya.

PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Ia mengendalikan loji bersepadu bertaraf dunia daripada pengeluaran bahan mentah sehingga produk hiliran.

Melalui jumlah kapasiti sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun, syarikat ini terlibat dalam pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk bahan kimia termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta produk bahan kimia dan derivatif asas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan