KUALA LUMPUR, 19 Jan -- Sabah Credit Corporation (SCC) telah memperoleh pinjaman berkaitan kelestarian sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan kredit pusingan daripada CIMB Bank Bhd untuk memperhebatkan usahanya memangkinkan pembangunan sosioekonomi di Sabah.
Ini menjadikan SCC institusi kewangan pertama di Malaysia untuk memperoleh pinjaman yang dikaitkan dengan sasaran prestasi kelestarian (SPT).
Pinjaman ini telah distrukturkan kepada dua petunjuk prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan kelestarian dan agenda sosioekonomi SCC di Sabah, dengan SPT yang telah dipersetujui dikaitkan dengan setiap KPI, demikian menurut SCC dan CIMB dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Ia berkata SPT termasuk pengagihan kumulatif pinjaman / pembiayaan kepada segmen B40, serta sumbangan SCC dalam komuniti tempatan melalui yayasan tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya, Yayasan Perbadanan Pinjaman Sabah (YPPS).
CIMB akan memberi rebat ke atas faedah pinjaman sekiranya SCC mencapai SPT ini, katanya.
"Ini adalah satu pencapaian penting bagi SCC dan menunjukkan kesediaan kami untuk memanfaatkan pembiayaan yang mampan dalam memacu agenda pembangunan kami di Sabah.
"Kami juga akan meningkatkan usaha untuk mengukuhkan integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di keseluruhan perniagaan yang kami yakin lambat-laun akan membantu SCC merealisasikan mandat kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif SCC, George Taitim Tulas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata: “CIMB berbesar hati dapat menyokong agenda kelestarian dan sosioekonomi SCC melalui penawaran SLL kami.
"Sebagai sebuah organisasi yang didorong oleh tujuan, ini mewakili fokus berterusan kami untuk menggabungkan pertimbangan alam sekitar dan sosial ke dalam syarat pembiayaan, memberi insentif kepada amalan mampan di rantau ini, dan sama-sama meraih manfaat untuk perniagaan dan pelanggan kami, serta manusia dan planet.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial