KUALA LUMPUR, 18 Jan -- Titijaya Land Bhd (Titijaya) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pembangunan bandar perubatan berteknologi tinggi, Medi-Tech City dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM9.9 bilion.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata projek berkenaan meliputi kawasan seluas 93.07 hektar di Batu Kawan dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.
Pembangunan Medi-Tech City tersebut turut disasarkan sebagai sebuah bandar perubatan dan hab perniagaan bersepadu, lestari dan berteknologi tinggi di Pulau Pinang yang kini menempatkan lebih daripada 300 syarikat multinasional antarabangsa (MNC).
“Projek pembangunan tersebut akan selaras dengan pematuhan aspek Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab dan inisiatif Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial dan Korporat (ESG),” katanya.
Menurut Titijaya, apabila siap kelak, Medi-Tech City akan menjadi hab perubatan yang menawarkan ekopelancongan dan perkhidmatan perniagaan global lengkap dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan, hab bekalan perubatan, suit korporat dan sebuah pusat rehabilitasi.
Syarikat itu juga mempunyai pembangunan ‘binaan khusus’ seluas 8.09 hektar di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Pembangunan tersebut akan memberi sokongan logistik kepada projek Medi-Tech City yang turut menyasarkan permintaan tinggi daripada pelbagai sektor di kawasan Bayan Lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial