AM

Polis siasat pelanggaran SOP majlis dihadiri ahli perniagaan, ahli politik

18/01/2022 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan  -- Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah majlis pelancaran produk melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia susulan satu laporan polis yang dibuat semalam berikutan penularan gambar tetamu di majlis berkenaan yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

“Pihak polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis untuk memastikan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Semalam tular di media sosial beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan