KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Ancaman keselamatan di sempadan dan perairan negara yang luas memerlukan usaha sama jitu antara rakan negara khusus negara jiran ASEAN melalui diplomasi pertahanan, bagi melindungi kedaulatan negara.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagi melaksanakan perkara itu, Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) yang sedang berjalan sekarang akan ditingkatkan ke peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina.
"Saya akan ke Surabaya (Indonesia) pada 27 Jan ini untuk bertemu rakan sejawat dari dua negara terlibat bagi berbincang mengenainya. Malaysia dan Indonesia juga bakal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan menyeluruh, yang pertama di antara kedua-dua negara.
"Selain itu kita juga akan mengadakan semula mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia (GBC Malindo) pada Februari ini, dengan Malaysia akan menjadi tuan rumah," katanya semasa berucap pada majlis Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.
Selain itu, Hishammuddin berkata beliau juga akan menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly di Kementerian Pertahanan pada 23 Jan ini.
Mengenai penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022, Hishammuddin berkata pameran itu akan memberi peluang kepadanya, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera untuk bertemu rakan sejawat masing-masing, selain ramai pemain industri dijangka hadir.
"Saya Menteri (Kuartet) COVID-19, saya faham risikonya terutama penularan varian Omicron. InsyaAllah, jika diizinkan acara ini berlangsung kelak, ia akan dianjurkan secara selamat dengan SOP ketat," katanya.
Pameran yang akan diadakan pada 28 hingga 31 Mac depan itu memberi peluang kepada perkongsian strategik, kerjasama perniagaan dan rangkaian yang berjaya di antara pemegang taruh industri pertahanan dan keselamatan dengan jabatan-jabatan kerajaan.
Pameran di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu dijangka disertai 1,500 syarikat daripada 60 negara, melibatkan 350 delegasi kenamaan serta 50,000 pelawat daripada seluruh dunia.
Sementara itu, mengulas berhubung status penamatan Operasi Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Hishammuddin berkata beliau akan mendapatkan nasihat daripada kepimpinan ATM dan akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung perkara itu.
"Akhirnya penentuan dan keputusan ke depan adalah di mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat berkenaan.
Pada 13 Jan lepas, Hamzah mengumumkan Pengoperasian Op Benteng di bawah NTF akan ditamatkan pada Jun depan dengan segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial