EKONOMI

Pengambilalihan UOB-Citygroup segera tingkatkan pendapatan 1.4 kali - GCFO UOB

14/01/2022 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- United Overseas Bank Ltd (UOB) menjangka pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup akan segera meningkatkan sebanyak 1.4 kali kepada pendapatan, kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO) UOB Lee Wai Fai.

“Pada peringkat kumpulan, kami akan menyaksikan peningkatan pendapatan tambahan S$1 bilion (S$1=RM3.11) dengan segera,” katanya pada taklimat secara maya mengenai cadangan pengambilalihan UOB-Citigroup hari ini. 

UOB mengumumkan bahawa anak syarikatnya akan mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup, terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam dengan nilai S$915 juta.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Wee Ee Cheong berkata pengambilalihan itu dijangka meningkatkan Kumpulan UOB dalam skala ASEAN-4 dan memacu pencapaian peruncitan kumpulan dalam tempoh lima tahun.

“Sebagai pemain jangka panjang, UOB berdisiplin, selektif dan sabar dalam mencari peluang yang sesuai untuk berkembang. Kami telah memantau selama ini, walaupun kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan organik.

“Pengambilalihan ini merupakan peluang yang baik dan tiba pada masa yang tepat. Ia adalah urus niaga transformasi yang akan meningkatkan kedudukan kami sebagai bank serantau terkemuka,” katanya.

Wee berkata empat pasaran itu mempunyai potensi pertumbuhan yang baik, justeru pengambilalihan tersebut merupakan peluang yang baik untuk kumpulan berkembang, meningkatkan francais runcitnya dan melonjakkan kedudukan kepimpinan pasaran, serta memacu sasaran pertumbuhan dalam tempoh lima tahun.

Menggabungkan Singapura dan rantau ini, kumpulan akan mempunyai jumlah asas pelanggan kurang daripada 10 juta, yang akan memberi peluang untuk menjana manfaat untuk seluruh rantau ini, katanya.

“Citi telah membina francais selama lebih 50 tahun, dengan keupayaan, pekerja dan proses yang terbaik dalam kelasnya. 

“UOB telah melabur dalam infrastruktur dan pasukan serantaunya. Apabila digabungkan, kami akan mempunyai gabungan produk yang pelbagai dengan pulangan yang baik selain mengekalkan daya tahan portfolio,” kata Wee.

Katanya krisis COVID-19 membolehkan pengesahan dan daya tahan perniagaan dan portfolio, untuk UOB dan Citi.

“Kami gembira berikutan kami berada dalam kedudukan yang kuat untuk melaksanakan urus niaga ini, berdasarkan lembaran imbangan kami yang kukuh membolehkan kami merebut peluang ini dan menggunakan modal kami dengan baik.

“Kami menjangka untuk mempunyai sinergi hasil daripada manfaat skala,” katanya.

Wee turut menekankan bahawa pengambilalihan utama ialah operasi di Thailand, berdasarkan pasaran yang kompetitif. 

Katanya portfolio Citi di Thailand adalah berdisiplin dengan kualiti yang baik manakala Malaysia merupakan pasaran yang lebih kecil dengan portfolio yang baik dengan Vietnam memberikan peluang yang baik dalam jangka masa panjang.

“Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam merupakan pasaran utama kami. Segmen pelanggan runcit Citi di negara-negara ini melengkapkan UOB. Ia akan meningkatkan asas kami yang sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan