AM

Program hab Pengeluar Digital Felda bakal diperluas ke 270 sekolah

12/01/2022 07:45 PM

KUALA KUBU BHARU, 12 Jan -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan memperluas inisiatif Hab Pengeluar Digital, Pengekodan dan Robotik ke 270 sekolah kebangsaan di tanah rancangan agensi itu.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh berkata selain bertujuan menyedia dan menyokong landskap pendidikan digital murid sekolah, inisiatif itu juga bakal menggalakkan aktiviti pembuatan digital, penyebaran serta penguasaan ilmu berteraskan inovasi digital dalam kalangan murid dan guru.

Beliau berkata ia dilaksana menerusi aktiviti kokurikulum melalui kelab robotik sekolah yang mampu menjadi platform dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan sumbangan dana daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga dan generasi FELDA untuk membekalkan kelengkapan asas robotik dengan nilai RM15,000 bagi setiap sekolah yang terlibat.

“Sehingga kini, sejumlah RM240,000 telah diterima bagi menjayakan inisiatif ini di 16 buah sekolah projek rintis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran inisiatif itu di Sekolah Kebangsaan Gedangsa di sini hari ini.

Sekolah itu antara penerima dana bagi pelaksanaan inisiatif Hab Pengeluar Digital FELDA menerusi sumbangan Presiden Pertubuhan Kami Anak FELDA Fakhrurrazi Mohd Habib.

Mengulas lanjut, Idris berkata aspek penyediaan kelas dan guru serta kelulusan modul adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pelaksanaan aktiviti itu dapat dijalankan dengan baik.

Beliau berkata modul pengajaran dan pembelajaran bagi inisiatif itu dibangunkan oleh vendor yang dilantik iaitu Zull Design Autotronic, sebuah syarikat yang diterajui seorang anak FELDA.

Idris juga berkata FELDA sebelum ini telah melaksanakan Sistem Kelas Pintar di 101 sekolah menengah di tanah rancangan agensi itu di seluruh negara.

“Jadi dua inisiatif yang kita laksanakan di sekolah dengan kerjasama KPM ini diharap dapat memberi kebaikan kepada anak cucu peneroka FELDA sekali gus menjadi modal insan yang kompetitif,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan