EKONOMI

PT KFG, KVG meterai MoU bangunkan sektor pertanian kenaf di Indonesia

11/01/2022 08:51 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan  -- PT Kenaf Fiber Global (PT KFG) dan Kenaf Venture Global Sdn Bhd (KVG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan sektor sosio-ekonomi Indonesia, khususnya masyarakat serta ekonomi tempatan dalam industri pertanian kenaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KVG Jazman Shahar Abdollah berkata kerjasama tersebut adalah inisiatif KVG yang dilihat sebagai langkah pertama syarikat itu dalam usaha pembenihan kelestarian di Indonesia seterusnya mencipta lebih banyak peluang ekonomi untuk menembusi pasaran di negara-negara asing.

"Kenaf menerima permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia berikutan kepelbagaian integrasi perindustrian serta produk mesra alam yang boleh diperolehi daripada tanaman tersebut. Kerjasama itu juga merupakan inisiatif promosi kemampanan pada tahap yang lebih tinggi.

"Malah, menerusi MoU ini juga kami ingin kongsikan anggaran nilai pelaburan iaitu USD100 juta (RM419 juta) yang terdiri daripada ladang, bahagian pembuatan dan pembinaan kilang-kilang lain untuk menghasilkan produk bagi tempoh sehingga 30 tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU di sini hari ini.

Katanya, projek pertanian itu juga akan melibatkan penggunaan tanah seluas 2,000 hektar (4942 ekar) di sebuah kawasan di Indonesia (yang akan diumumkan kelak) dan pihaknya percaya bahawa kerjasama melalui amalan pertanian itu mampu menjadi batu loncatan ke arah objektif yang akan menjadi pemangkin kepada Revolusi Industri (IR) dalam pertanian di Indonesia.

Terdahulu, Jazman Shahar telah menandantangani MoU mewakili KVG manakala Rusmin Lawin, rakan peniagaan menandatangani bagi pihak PT KFG, dalam majlis yang disaksikan oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang Bambang Suharto.

Sementara itu, Bambang berkata PT KFG akan beroperasi dengan melibatkan tiga peringkat iaitu penghuluan, pertengahan dan penghiliran (downstream) yang bakal bermula dalam suku pertama tahun ini yang boleh menjadi nilai tambah kepada pertanian kenaf di Indonesia.

"Bahan binaan seperti ‘kenaf crete’ yang dipercayai bahawa kelestarian boleh dicapai secara praktikal melalui bahan binaan yang berasal daripada kenaf, yang mana ia dapat mempercepatkan pembinaan bangunan sebanyak 60 peratus dan menjimatkan kos sehingga 40 peratus selain dapat mengurangkan jejak karbon,” katanya.

PT KFG ialah syarikat pertama kumpulan syarikat KVG yang ditubuhkan bertujuan untuk meneroka pasaran kenaf antarabangsa yang menyasarkan perkembangan spektrum yang luas dan berpotensi kepada masyarakat antarabangsa, ekonomi dan negara tempatan, khususnya di Indonesia.

Ia juga dilengkapi dengan kemajuan teknologi yang diperlukan dan disasarkan mampu menjadi kemunculan automasi sistem, khususnya sebagai tonggak ke arah IR dalam amalan pertanian di Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan