EKONOMI

MCCC-DPIM bekerjasama lancar kempen bantuan banjir, Malaysia Bersatu Hati

30/12/2021 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 29 Dis -- Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bekerjasama melancarkan kempen bantuan banjir, Malaysia Bersatu Hati untuk membantu mangsa banjir dan perusahaan mikro. 

Presiden MCCC Datuk Tan Yew Sing berkata inisiatif bersama MCCC-DPIM itu terdiri daripada tiga komponen utama: aktiviti pembersihan dan kempen pengumpulan barangan keperluan, kempen mengumpul dana dan persembahan amal.

“Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC) kami menganjurkan sukarelawan membantu mangsa di kawasan paling teruk terjejas, seperti Bentong, Pahang. Mereka membersihkan rumah yang terjejas dan mengagihkan bekalan sejak dua minggu lepas.

“Kami menyasarkan untuk mengumpul RM200,000 melalui kempen pengumpulan dana untuk membeli bekalan keperluan dan mengagihkannya kepada mangsa.

“Kami sedang mengumpul dana dalaman melalui organisasi MCCC dan DPIM tetapi kami berhasrat untuk mengumpul sumbangan di peringkat nasional untuk menyebarkan semangat Malaysia Bersatu Hati,” katanya pada sidang media anjuran MCCC hari ini.

Sementara itu, persembahan amal anjuran pengasas Dua Space Dance Theatre, Anthony Meh Kim Chan dijadualkan untuk strim dalam talian pada 8 Jan 2022. 

Pada sidang media sama, Presiden DPIM Mohammad Sahar Mat Din berkata fokus utamanya ialah membantu perusahaan mikro.

“Kami membantu 50 penjaja di Klang pada tiga hari lepas dengan menyediakan peralatan asas perniagaan kepada mereka seperti kanopi, dapur, meja, kerusi serta periuk dan kuali.

“Saya berharap perniagaan mikro akan dapat dibuka semula tidak lama lagi. Sebagai komuniti perniagaan, kami sedia membantu mereka berbuat demikian,” katanya.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Affin Bank MCCC - 1065 8001 3314 atau akaun Bank Muamalat DPIM - 1401 0006 453710.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan