KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Kerjasama konstruktif Melayu-Cina melalui UMNO dan MCA terbukti lebih menguntungkan masyarakat Cina berbanding pendekatan agresif oleh DAP, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana sepanjang era pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, terbukti sifat keterlaluan DAP tidak mampu memenangi hati rakyat pelbagai bangsa.
Justeru, beliau berkata MCA tidak perlu berasa begitu terancam dengan DAP, sehingga merasakan parti itu perlu menunjukkan sikap yang lebih chauvinistik, dan kini parti gabungan Barisan Nasional itu semakin menyerlahkan kematangannya dalam berpolitik.
“Paling menonjol adalah resolusi diluluskan oleh Perhimpunan Agung MCA ke-67 Mac lepas yang menyeru semua parti menghentikan segala bentuk percaturan politik, sebaliknya tumpukan perhatian terhadap usaha-usaha membendung penularan pandemik COVID-19, membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara.
“Syabas MCA! Terapkanlah dalam jiwa ahli-ahli muda MCA mengenai sejarah, asal-usul, tradisi dan sistem yang telah dibentuk oleh para pengasas parti. Kesederhanaan, keadilan, kesaksamaan dan pandangan jauh mendiang Tun Tan Cheng Lock, harus sentiasa dijadikan panduan,” katanya dalam ucapan beliau secara maya pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata MCA di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, telah menunjukkan pelbagai perkembangan positif.
Menurutnya, pindaan perlembagaan MCA bagi menerima kemasukan ahli bersekutu pelbagai kaum menunjukkan ia sebuah parti politik yang mempromosikan semangat kepelbagaian dan kesederhanaan, serta berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
“Kesetiaan MCA turut diuji apabila ia berhadapan dengan keputusan parti komponen lain untuk meninggalkan BN (Barisan Nasional). Mujur ketika Perhimpunan Agung MCA ke-65 pada 2 Dis 2019, tokoh yang menang sebagai Presiden baharu MCA ialah Datuk Seri Wee Ka Siong.
“Di bawah kepimpinan beliau, Jawatankuasa Pusat MCA telah memutuskan untuk parti itu kekal dalam BN untuk ‘mencipta suasana politik yang demokratik, pelbagai dan moderat’. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Wee Ka Siong,” katanya.
Ismail Sabri berkata usaha merejuvenasi dan mengembalikan sokongan rakyat kepada MCA terbalas, apabila calon parti itu memenangi kerusi antaranya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 Nov 2019.
Yang terbaharu ialah Ngwe Hee Sem dan Senator Datuk Lim Ban Hong turut berjaya merampas kembali kerusi Machap Jaya dan Kelebang dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 20 Nov lepas.
Menurut Ismail Sabri, beliau yakin dengan kerja keras setiap ahli parti serta semangat setiakawan dalam BN, tidak mustahil untuk MCA mengalahkan lawan mereka terutamanya calon-calon DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kepimpinan MCA perlu bersikap lebih proaktif terhadap keadaan semasa, bukan sekadar untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU15 sahaja malah semua pemimpin dan ahli parti perlu melakukannya dengan penuh keikhlasan, sekali gus terus memperjuangkan kepentingan kaum Cina khususnya dan rakyat keseluruhannya.
Beliau berharap MCA menerusi akar umbinya supaya sentiasa prihatin kepada permasalahan rakyat tanpa mengira kaum, dalam menangani pandemik COVID-19.
“MCA juga perlu meningkatkan sesi libat urus dengan golongan muda untuk membantu mereka dalam pelbagai aspek, selaras dengan pelaksanaan Undi 18. Golongan pengundi daripada generasi Z ini mempunyai cara berfikir yang berbeza berbanding generasi sebelumnya, tambahan pula mereka terdedah dengan begitu banyak maklumat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial