AM

Simunjan bakal dibangun sebagai tarikan pelancong, daerah pertanian

17/12/2021 04:21 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

SIMUNJAN, 17 Dis -- Terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandaraya Kuching, Simunjan bakal dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancong selain menjadi daerah pertanian bagi meningkatkan pendapatan rakyat setempat.   

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan Awla Dris berkata Simunjan memiliki beberapa kawasan yang mempunyai potensi bagi sektor pelancongan seperti Gunung Ngeli dan Temiang.

Pembangunan fasiliti pelancongan termasuk inap desa di kawasan sekitar sedang dirancang dengan giat bagi menjayakan pembangunan pelancongan di Simunjan, katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Hasrat membangunkan Simunjan sebagai destinasi pelancongan turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Nancy berkata Simunjan adalah sebuah daerah tertua di Sarawak dan ia merupakan satu aspek yang menjadi daya tarikan untuk daerah itu dimajukan.

Di bawah Dasar Pelancongan Negara 2020-2023, beliau berkata kementeriannya telah memohon tanah untuk dibangunkan sebagai zon pembangunan pelancongan di Gunung Ngeli dan sekitarnya yang melibatkan kos sebanyak RM40 juta.    

"Kita hendak bangunkan Gunung Ngeli. Kita akan bangunkan Dewan Warisan, ada tempat khusus untuk institusi kraf negara di Simunjan. Memang sudah ada dalam perancangan,” katanya kepada Bernama. 

Nancy menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ingin melibatkan komuniti setempat di Simunjan untuk aktiviti pelancongan menerusi penganjuran kursus-kursus yang berkaitan dengan industri itu. 

"Kita ada kursus untuk mereka yang bergiat dalam sektor pelancongan di Simunjan.  Rancangannya memang ada, produknya memang ada... kita hendak menganjurkan program sukarelawan pelancongan atau ‘voluntourism’ melibatkan pelajar-pelajar supaya mereka mengetahui cerita mengenai Simunjan.

"Bila ada pelancong, merekalah yang akan ke hadapan untuk membawa pelancong dan mendapat bayaran, kita mahu mereka terlatih," katanya.

Menyentuh kegiatan pertanian, Awla berkata satu kawasan seluas 3.24 hektar akan dibangun dengan pelbagai tanaman termasuk halia dan kunyit.   

"Setakat ini, kawasan ini sudah dibersihkan dan akan diteruskan pada tahun 2022. Kita memilih orang yang kurang berkemampuan (untuk mengerjakan tanah) dari setiap kampung. Setakat ini, kita telah mengambil 14 peserta sebagai percubaan," katanya.  

Bagi memastikan daerah itu turut memiliki liputan Internet yang baik, beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan Lembaga Multimedia Sarawak untuk membina menara telekomunikasi bagi mendapat liputan lebih meluas bermula tahun depan.  

Katanya permohonan untuk pembinaan 12 menara telekomunikasi sudah dimajukan kepada lembaga itu dan setakat ini, sebanyak empat menara telekomunikasi telah dibina. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan