ALOR GAJAH, 16 Dis -- Polis menahan seorang lelaki dan rakan wanitanya yang dipercayai terlibat dalam urusan jual beli kucing baka Persian berharga RM2,600 menggunakan wang palsu, dalam satu serbuan di Simpang Pulai Ipoh, Perak pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata tangkapan ke atas suspek berusia 22 dan 24 tahun itu, dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira 5 petang, susulan laporan daripada seorang pesara guru yang mendakwa menerima wang palsu daripada pasangan terbabit.
“Mangsa lelaki itu, telah membuat urusan jual beli kucing kepada suspek melalui laman sosial Facebook yang bersetuju membeli dua ekor kucing itu dengan harga RM2,600, dan membuat pembayaran deposit sebanyak RM100 ke dalam akaun pengadu.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berjumpa di Plaza Tol Ayer Keroh pada 11 Dis pada pukul 1.30 pagi, dan pengadu telah menyerahkan dua ekor kucing bersama sangkar, manakala suspek kemudiannya menyerahkan wang tunai RM2,500 kepada pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata pada keesokkannya pengadu telah menggunakan wang tersebut untuk membeli kucing lain di Skudai, Johor namun ketika urusan pembayaran, mangsa mensyaki wang itu adalah palsu dan penjual kucing tersebut juga enggan menerima wang terbabit, seterusnya membuat laporan dan menyerahkan wang palsu itu kepada pihak polis.
Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback, dua ekor kucing baka Persian dan mesin cetak berwarna.
“Saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek iaitu lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat manakala rakan wanitanya yang tidak berkerja, didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan lanjut juga mendapati suspek wanita turut mempunyai rekod di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan status masih dikehendaki serta di bawah perintah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Tambahnya kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Dis dan kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial