AM

Laporan berita di luar konteks maklumat bertulis - KWP

15/12/2021 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis -- Berita yang disiarkan sebuah akhbar tempatan berkenaan penyewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur semalam, telah dilaporkan di luar konteks maklumat bertulis yang disediakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kepada media itu.

KWP dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan tajuk berita dan penggunaan istilah yang salah dalam laporan berita berkenaan, telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Menurut kenyataan itu, KWP tidak mengeluarkan kenyataan tersebut dan tiada sesi temu bual secara bersemuka antara Menteri Wilayah Persekutuan bersama wartawan atau editor media berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, angka-angka statistik yang digunakan di dalam laporan itu adalah berdasarkan maklumat bertulis yang diberikan kepada wartawan media berkenaan, namun tiada penggunaan kata ‘orang kaya’ dalam maklumat bertulis yang disediakan.

“Meskipun laporan itu berniat untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai usaha yang dilakukan oleh KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tajuk dan pelaporan berita tersebut adalah pandangan dan penafsiran sendiri wartawan atau editor (media itu),” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu jawapan bertulis yang disediakan KWP kepada media berkenaan mengandungi jumlah unit PPR dan Perumahan Awam (PA), kriteria permohonan, membaik pulih serta statistik tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan ke atas 1,108 unit PA/PPR  dari 2019 hingga Jun 2021 atas pelbagai kesalahan.

Kenyataan itu menyebut tindakan rampasan unit dibuat sekiranya penyewa sedia ada melakukan kesalahan menyalahi syarat antaranya tidak menetap lebih 14 hari, menyewakan atau melepaskan pemilikan unit atau sebahagiannya kepada orang lain, serta melakukan kesalahan seperti ‘vandalisme’, membuang sampah dan membuat halangan di koridor, tangga atau mana-mana tempat yang disediakan untuk kegunaan bersama.

“KWP melalui DBKL menegaskan kami amat prihatin akan masalah warga kota yang memerlukan rumah untuk didiami seperti di PPR dan PA, serta tidak akan berkompromi dengan mereka yang menyalahgunakan dan menyalahi syarat menyewa premis.

“Tindakan penguatkuasaan sentiasa diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyewa dan mendiami unit PPR dan PA," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan