KUALA LUMPUR, 14 Dis -- VIROTEX Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SMART Sabah Corporation Sdn Bhd untuk membekalkan air bersih ke kawasan luar bandar di Negeri Di Bawah Bayu menggunakan teknologi sistem air yang boleh diperbaharui (RWS).
Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek itu akan bermula tahun depan berdasarkan kelulusan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
"Kita akan memastikan rundingan dengan KPLB akan dilaksana secepat mungkin untuk memastikan kelancaran projek ini yang bakal menguntungkan penduduk luar bandar di Sabah.
“Walaupun begitu, secara prinsipalnya KPLB bersetuju untuk memberikan peruntukan secara berperingkat," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif VIROTEX Mohd Shafiq Mohd Azmi berkata projek itu akan memberi manfaat kepada 10 kawasan setempat di Sabah iaitu Pulau Banggi, Pulau Bambalangan, Pulau Tiga, Pulau Selingan, Pulau Sebatik, Kampung Sungai Lokan dan Kampung Sri Ganda selain pusat pelancongan seperti Pulau Mabul, Pulau Mantanani dan Gunung Kinabalu.
"Tempat-Tempat ini dikenal pasti sering menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih yang cukup dan stabil untuk menampung kehidupan harian penduduk.
“Oleh itu, MoU dimeterai hari ini akan menjadi usaha sama berpanjangan bagi memenuhi kepentingan bersama dalam mencapai keselamatan dan kemakmuran kawasan ini," katanya.
Bung Moktar turut menjelaskan teknologi RWS yang bakal digunakan akan melengkapi sumber air semula jadi sedia ada seperti air bawah tanah, air permukaan dan air hujan tanpa proses penggalian, pemasangan dan penyelenggaran pam air melalui kemampuan teknologi itu menukarkan kelembapan udara kepada air.
"Dengan teknologi hijau yang memiliki pelepasan karbon sifar ini, ia bukan sahaja mampu mengelakkan pelepasan gas seperti metana tetapi juga dapat menyelesaikan krisis air Sabah yang semakin meningkat dengan penyediaan air bersih bermutu tinggi seperti yang diiktiraf oleh Majlis Air Sedunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial