AM

PGA tahan dua lelaki, rampas arak bernilai RM2.43 juta termasuk cukai

09/12/2021 09:02 PM

BATU PAHAT, 9 Dis -- Polis menahan dua lelaki dan merampas sejumlah arak dianggarkan bernilai RM2.43 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Treh, dekat Muar, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Dimin Awang berkata kedua-duanya yang berusia 29 tahun ditahan sepasukan anggota dan pegawai Batalion 5 PGA ketika menjaga sebuah stor pada 11 pagi.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua tong biru berisi 200 liter pati arak, dua tong biru berisi 200 liter cecair tiruan serta 500 kotak arak tiruan pelbagai jenama.

"Turut dirampas, dua mesin penutup botol, dua set pam elektrik, dua kotak penutup botol, sebungkus plastik berisi pelekat kastam palsu serta satu set kamera litar tertutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dimin berkata dengan dipandu arah kedua-dua lelaki itu, anggota PGA kemudian menyerbu satu lokasi di Parit Kadir Darat, Bukit Pasir dan Parit Jamil, Parit Jawa dekat sini serta merampas 14 tong biru berisi 200 liter pati arak.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 10 kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tujuh lori yang dipercayai digunakan untuk mengedar arak tersebut.

“Keseluruhan barangan rampasan termasuk arak dan kenderaan dianggarkan bernilai RM3.53 juta. Kita percaya kedua-dua lelaki itu menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai sejak tiga tahun lepas dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat memproses arak,” katanya.

Menurut Dimin pihaknya percaya modus operandi mereka adalah membeli tong yang mengandungi pati cecair alkohol dan mencampurkan mengikut formula sendiri, kemudian dibotolkan dan ditampal label jenama serta setem duti kastam yang dipercayai palsu.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 kerana membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan