AM

Operasi PKRC MITC dilanjut hingga tahun hadapan

09/12/2021 01:53 PM

MELAKA, 9 Dis -- Operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, akan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh. 

Katanya perkara itu telah dibincang dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam berikutan tempoh sewaan PKRC itu akan tamat pada 19 Dis ini.

“Pelanjutan tersebut bukan disebabkan berlakunya peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negeri ini, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gelombang baharu bawaan varian terkini COVID-19.

“Biarpun kemasukan ke PKRC MITC hanya 24.7 peratus sahaja atau sekitar 300 pesakit berbanding kuota 1,500 katil yang disediakan, kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh ini, terutamanya kini terdapat varian baharu dikesan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Katanya, pihaknya akan memantau trend kemasukan pesakit ke pusat tersebut dalam tempoh enam bulan itu dan sekiranya menunjukkan penurunan, operasi di PKRC MITC akan ditamat atau dipindahkan ke tempat lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Muhamad berkata jumlah kes positif kluster Pulau Gadong yang berpunca daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov lalu, meningkat daripada 41 kepada 137 pelajar dan guru. 

Katanya, jumlah itu diperoleh hasil saringan terhadap 224 pelajar dan guru, dengan 137 daripadanya disahkan positif, manakala baki 87 negatif namun telah menjalani tempoh kuarantin sejak 25 Nov lepas.  

Bagaimanapun, beliau berkata risiko penularan wabak adalah rendah memandangkan kesemua pelajar dan guru madrasah terbabit berada dalam radius kawasan berkenaan. 

“Virus (COVID-19) tidak akan tersebar dalam komuniti dan tempoh kuarantin mereka akan tamat pada 14 Dis ini. Kalau ada kes baharu tempoh kuarantin mereka akan dilanjutkan 10 hari lagi.

“Mereka (pelajar dan guru) semua berada dalam keadaan sihat di bawah kategori satu dan dua. Sementara yang menjalani tempoh kuarantin di PKRC MITC telah dibenarkan pulang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan