Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 7 Dis -- India dan Rusia berikrar untuk memperluas hubungan rapat mereka selepas sidang kemuncak pemimpin tahunan di New Delhi pada Isnin.
Sidang kemuncak itu menyaksikan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri India Narendra Modi membincangkan pelbagai aspek kerjasama termasuk usaha untuk meningkatkan ekonomi.
"Rusia melihat India sebagai sebuah kuasa besar, yang rakyatnya sangat mesra terhadap kami. Hubungan kita bermula daripada asas yang sangat positif," kata Putin dalam ucapannya pada sidang kemuncak itu.
Putin berkata nilai pelaburan dua hala ialah US$38 bilion dan "hampir setara antara kedua-dua negara, dengan sedikit kelebihan di bahagian Rusia."
Modi berkata India dan Rusia turut menerima pakai visi jangka panjang untuk memperdalam hubungan ekonomi mereka, dengan sasaran US$30 bilion untuk perdagangan tahunan dan US$50 bilion dalam pelaburan menjelang 2025.
Dagangan India-Rusia merosot 17 peratus kepada US$9.3 bilion pada 2020, tetapi meningkat 38 peratus dalam sembilan bulan pertama 2021.
Sidang kemuncak Modi-Putin membuka tirai dengan perbincangan antara menteri luar dan pertahanan India dan Rusia, yang bertemu buat pertama kali dalam format "2-plus-2".
Kedua-dua negara menandatangani 28 perjanjian melibatkan entiti kerajaan dan perniagaan.
Menurut kenyataan bersama, perbincangan itu merangkumi topik seperti tenaga nuklear, angkasa lepas, pembuatan ketenteraan, pembinaan kapal awam, keluli, pendidikan, vaksin COVID-19, serta bekalan minyak dan gas Rusia ke India.
Rusia dan India juga bersetuju untuk bekerjasama mengenai isu di Afghanistan melibatkan perhubungan pengangkutan antarabangsa dan keganasan.
Kedua-dua pihak juga sepakat memperbaharu kerjasama ketenteraan dan teknikal untuk tempoh 10 tahun sehingga 2031.
Putin menyifatkan kerjasama Rusia dengan India dalam bidang teknikal ketenteraan tidak seperti negara-negara lain.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan ekonomi bersama, terdapat keperluan bagi kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam bidang teknologi pertahanan yang maju dan baharu serta untuk tentera kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang tertentu melibatkan keupayaan ketenteraan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial