BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 6 Dis -- UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) menyambung penajaan ke atas Zoo Negara untuk tahun kedua dengan menyumbang RM20,000 bagi mengukuhkan komitmennya terhadap penjagaan alam sekitar.
UEM Edgenta menerusi kenyataan memaklumkan sumbangan itu adalah untuk kebajikan, penyediaan bekalan makanan dan penjagaan veterinar sepasang zirafah ‘Mas Boy’ dan ‘Mas Kira’ selama setahun.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta berkata kedua-dua zirafah angkat itu sihat, ceria dan aktif di bawah penjagaan rapi Zoo Negara.
“Kami juga menaja bangku yang diletakkan di sekitar Zoo Negara untuk mengindahkan landskap sambil menawarkan kawasan rehat kepada pengunjung ketika lawatan ke zoo,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata sokongan berterusan daripada UEM Edgenta akan memberikan banyak manfaat kepada kesejahteraan kedua-dua zirafah terutama pada masa sukar ini.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai untuk mengekalkan zoo dan kami berharap untuk menerima kehadiran lebih ramai pengunjung untuk melihat lebih 3,749 spesimen terdiri daripada 254 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia, invertebrata dan ikan,” katanya.
Selain itu, UEM Edgenta juga bekerjasama dengan Taman Tugu dengan menjadikan pokok Paya Mersawa di taman itu sebagai ‘pokok angkat’ bagi mempromosikan pemuliharaan biodiversiti.
Pokok tersebut telah tersenarai dalam Senarai Merah (terancam) Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
Spesies berkenaan biasanya ditemukan di kawasan dilindungi dan diancam oleh aktiviti pembalakan dan pembakaran yang berterusan untuk sumber kayu asli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial