AM

73.7 peratus OKU di Kelantan lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 - Exco

05/12/2021 03:08 PM

KOTA BHARU, 5 Dis  -- Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini diberitahu sebanyak 73.7 peratus golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata jumlah itu membabitkan seramai 2,870 daripada 3,892 OKU yang berdaftar.

"Bagaimanapun, baki seramai 1,022 iaitu 26.3 peratus yang belum divaksin membabitkan 297 (7.6%) OKU gagal dihubungi, 145 (3.7%) enggan atau tidak mampu untuk membuat keputusan menerima vaksin, 32 (0.8%) sedang menunggu giliran untuk divaksinasi dan selebihnya adalah OKU terlantar yang masih belum menerima vaksin," katanya ketika menjawab soalan Mohd Rozi Muhamad (PAS-Tendong) yang diwakili Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Sementara itu, DUN Kelantan turut dimaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan penyediaan peralatan teknologi kepada semua sekolah YIK. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata ia telah diagihkan secara berperingkat sejak Mei lepas selain pihaknya telah melakukan semakan bagi memastikan murid-murid ini dapat akses capaian internet.

"Selain itu, menerusi perbincangan kerajaan negeri dengan beberapa pihak berkepentingan, kita juga dalam perancangan dan usaha untuk melancarkan satelit bagi mengatasi masalah capaian internet di negeri ini dengan harga yang murah," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan