AM

Dua ADUN positif COVID-19, Sidang DUN Kelantan ditangguh - Speaker

05/12/2021 02:06 PM

KOTA BHARU, 5 Dis  -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan berlangsung sehingga Selasa (7 Dis) ini ditangguhkan lebih awal berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) positif COVID-19.

Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub berkata keputusan menangguhkan persidangan DUN ini terpaksa dilakukan bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19 kepada orang lain.

"Sepatutnya kita tamat persidangan pada 7 Dis depan..saya mendapat maklumat, dua ADUN iaitu dari Tanjong Mas (Rohani Ibrahim) dan ADUN Tendong (Mohd Rozi Muhamad) positif COVID-19, jadi kita terpaksa menangguhkan sidang DUN Kelantan sehingga diberitahu kelak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang DUN Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdullah turut memaklumkan ADUN Kemuning Mohd Roseli Ismail sedang menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada anaknya yang positif COVID-19.

Sebelum menangguhkan Sidang DUN itu, Abdullah berkata Belanjawan Negeri Kelantan 2022 telah diluluskan sebulat suara, tanpa dibahaskan.

"Kita dapat tamatkan persidangan selepas lulus Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan mengikut Perkara 29 peraturan dewan, Speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.

Belanjawan Kelantan 2022 bertemakan 'Kelantan Maju Rakyat Sejahtera' memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

Ia melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Pelindungan Sosial dan Kebajikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan