KUANTAN, 5 Dis -- Sambal hitam yang sinonim dengan masyarakat Pahang dan sering menjadi pilihan pengunjung luar untuk dibawa pulang sebagai buah tangan telah mendorong seorang wanita mengetengahkan produk makanan berkenaan.
Pengusaha Sambal Hitam Pahang Kome, Khatijah Silek, 60, berkata produk berkenaan mempunyai peminatnya yang tersendiri dan sudah dikenali ramai sememangnya dicari oleh pelancong yang berkunjung ke premis perniagaannya yang terletak di Serambi Teruntum di sini.
"Sambal buatan saya dihasilkan ikut ramuan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti dan segar bagi memastikan ia dapat tahan lama dan memenuhi cita rasa pembeli," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Khatijah berkata proses menghasilkan makanan itu mengambil masa yang lama iaitu sekitar empat hingga enam jam dengan menggunakan bahan asas seperti bawang dan cili.
"Biasanya saya mula memasak sekitar 10 pagi kerana prosesnya lama… sambal hitam kering mengambil masa sehingga enam jam manakala empat jam diperlukan untuk menyiapkan sambal basah. Namun, kedua-duanya perlu sentiasa dikacau supaya tidak hangit,” katanya yang mengusahakan produk itu sejak 2012.
Anak jati Pahang itu berkata beliau menghasilkan lebih 50 botol sebulan bergantung kepada permintaan yang dijual pada harga RM15 seunit dengan nilai jualan sekitar RM750.
Khatijah yang lebih dikenali sebagai kak Jah berkata sambal hitam yang kebiasaannya dinikmati bersama nasi panas, roti dan nasi impit kini juga enak dijadikan satu daripada menu dalam makanan Itali iaitu pizza.
Selain sambal hitam, ibu kepada empat anak yang mempunyai 15 orang cucu itu turut menghasilkan acar ikan talang, bawang putih dan sambal kicap buatan sendiri yang dijual di kedainya.
Premis yang beroperasi setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu juga memasarkan produk makanan ringan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang lain seperti dodol gula kabung, keropok keping, kuah rojak, bahulu, biskut dan aneka kerepek.
Berkongsi jatuh bangun dalam bidang perniagaan, beliau berkata ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik COVID-19 beliau kerugian hampir RM10,000 kerana ratusan bungkusan produk makanan di kedainya tidak dapat dijual hingga tamat tempoh.
Justeru, beliau berharap pelanggan terus menyokong produk tempatan keluarannya dan peniaga IKS lain seiring dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial