AM

19 keluarga Orang Asli di Kahang terima bekalan elektrik

03/12/2021 12:23 PM

KLUANG, 3 Dis -- Setelah sekian lama hidup tanpa bekalan elektrik, akhirnya 19 keluarga yang tinggal di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang, dekat sini, mampu menarik nafas lega apabila berpeluang menikmati kemudahan tersebut melalui tenaga solar di bawah program Sentuhan Harapan Mekar Johor@Kluang, bermula semalam.

Tok Batin kampung berkenaan, Sari Achu berkata dia dan lebih 70 penduduk di situ bersyukur apabila menerima kemudahan itu, memandangkan bekalan elektrik merupakan keperluan asas yang sangat penting.

Katanya ia lebih diperlukan setelah penularan pandemik COVID-19, apabila sesi pembelajaran anak-anak sama ada di bangku sekolah atau universiti perlu dilaksanakan secara dalam talian.

“Akibat ketiadaan bekalan elektrik, mereka ketinggalan dalam mengikuti kelas yang dijalankan dan kami cukup bersyukur apabila masing-masing kini dapat menghadiri kelas dalam talian.

“Kini setiap rumah diterangi lampu elektrik, malah kami juga boleh membeli peti sejuk untuk menyimpan makanan dan membeli mesin basuh,” katanya ketika ditemui semasa program Sentuhan Harapan Mekar Johor@Kluang, dekat sini, semalam.

Hadir merasmikan program anjuran Yayasan Petronas dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor itu, ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut, sebanyak 11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya berpeluang menikmati bekalan tenaga elektrik melalui solar.

Katanya tenaga solar berkenaan mampu bertahan selama tiga hari sebelum perlu dicaj semula dan boleh membekalkan tenaga elektrik termasuk untuk lampu LED, kipas dan paling utama port USB bagi mengecas telefon pintar.

“Dengan penggunaan tenaga solar ini, mereka dapat berjimat sehingga RM450 sebulan berbanding menggunakan penjana elektrik diesel yang hanya mampu memberikan bekalan elektrik untuk lampu sahaja selama dua jam setiap hari.

“Pihak Yayasan Petronas turut mengajar sebahagian penduduk di kampung ini yang jaraknya 50 kilometer dari bandar Kluang, berkaitan penyelenggaraan asas pada panel solar yang dibekalkan agar dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Penempatan Orang Asli itu merupakan satu-satunya yang masih belum menerima bekalan elektrik atau akses rangkaian grid nasional di Johor kerana jaraknya yang agak jauh untuk menerima bekalan elektrik sedia ada.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan