EKONOMI

Program EAM secara maya berjaya jana jualan RM1.03 juta - MATRADE

02/12/2021 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Misi Peningkatan Eksport (EAM) secara maya kendalian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya menjana jualan sebenar berjumlah RM1.03 juta manakala potensi jualan RM87.67 juta.

Dalam kenyataan hari ini, MATRADE berkata sejumlah 264 mesyuarat turut diadakan dalam misi yang diadakan bersempena Minggu Digital Asia Cosmoprof 2021 di Hong Kong pada 8-16 Nov lepas.

Sebahagian besar barangan yang mendapat perhatian pembeli adalah perkhidmatan membabitkan pengeluar peralatan tulen (OEM) bagi produk-produk penjagaan diri, penjagaan kulit dan produk asli.

"Produk lain keluaran syarikat Malaysia yang mendapat permintaan tinggi di Hong Kong adalah penjagaan rambut serta pelitup muka," kata MATRADE.

Cosmoprof Asia merupakan pameran kecantikan terkemuka Asia yang dianjurkan oleh Informa Markets sejak 25 tahun lepas di Hong Kong.

Menurut MATRADE, dua syarikat Malaysia iaitu Ilyska Bioinnovation Sdn Bhd dan Sky Resources Sdn Bhd, turut disenarai pendek bagi CosmoTrends -- laporan yang mengetengahkan produk mereka berserta 20 penjual produk lain yang dipilih oleh agensi aliran global, Beautystreams.

"Selain itu, produk mereka turut ditampilkan di laman sesawang Minggu Digital Cosmoprof Asia ketika sesi webinar Beautystreams pada 8 November dan dipromosikan dalam laporan CosmoTrends serta pangkalan data Cosmoprof global menerusi risalah, siaran media dan hantaran di media sosial.

"Pemilihan mereka jelas membuktikan keupayaan pengeksport Malaysia untuk menghasilkan produk berkualiti dan inovatif yang mendapat permintaan dalam pasaran asing," katanya.

Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat MATRADE, Zalela Jaafar berkata EAM secara maya itu menjadi platform tepat untuk syarikat-syarikat Malaysia berurusan secara langsung dengan pembeli berpotensi di Hong Kong, Macau dan China.

“Hong Kong misalnya dikenali kerana permintaan terhadap produk-produk pengguna yang laris seperti kosmetik dan keperluan mandian. Ini berikutan bandar raya itu menawarkan produk bagi keperluan penduduk tempatan dan pelancong selain turut menjual produk ke pasaran lain,” katanya.

Syarikat-syarikat Malaysia yang berminat mengeskport produk wilayah itu boleh menghubungi MATRADE Hong Kong di hongkong@matrade.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan